Program Pemindahan Ilmu Taman Konservatori Menyokong Kelestarian Hijau Universiti | INSTITUTE OF BIOSCIENCE
» ARTICLE » Program Pemindahan Ilmu Taman Konservatori menyokong kelestarian Hijau Universiti

Program Pemindahan Ilmu Taman Konservatori menyokong kelestarian Hijau Universiti

Penulis: Kamarulzaman Ismail

Kini, kita sering dikejutkan dengan tajuk utama di media massa terutama saluran televisyen dan radio, berkaitan kejadian bencana alam yang semakin kerap berlaku berpunca daripada isu pemanasan global. Kejadian-kejadian ini adalah antara akibat daripada tindakan kita yang rakus dalam mengejar kemajuan, tanpa mengambil kira impak jangka panjang terhadap alam sekitar. Oleh itu, salah satu usaha untuk memulihkan kelestarian alam adalah dengan melaksanakan pelbagai program yang menghubungkan kita semula dengan alam semula jadi, seperti inisiatif program penanaman pokok. 

Taman Konservatori Institut Biosains, UPM, yang dibangunkan di atas tanah seluas dua hektar, asalnya merupakan kawasan tanaman pokok getah (Hevea brasiliensis) yang diselenggarakan oleh unit ladang Universiti pada awal tahun 1980-an. Pada tahun 1996 kawasan ini diuruskan oleh Institut Biosains sebagai germplasma bagi spesis terpilih dan kemudian pada tahun 2003, selaras dengan perkembangan semasa, skop dan fungsi Taman Konservatori diperluaskan untuk menyokong kerja-kerja penyelidikan. Pada tahun 2005, Institut Biosains diberikan tanggungjawab oleh pihak universiti untuk membangunkan dan memajukan bank germplasma, di samping sebagai pusat penyelidikan, pembelajaran, rujukan, dan rekreasi alam, yang kemudiannya dikenali sebagai Taman Konservatori, Kini, koleksi tumbuhan di Taman Konservatori hampir mencecah 600 koleksi, merangkumi spesis  tumbuhan asli dan eksotik. Taman ini dibahagikan kepada 11 zon utama, termasuk zon tumbuhan aromatik, tumbuhan ubatan, ulam (herba), halia liar, tumbuhan akuatik, buah-buahan, dan paku-pakis, yang disusun mengikut fungsi, kegunaan, dan jenis tumbuhan yang terdapat di Malaysia.

Antara program pemindahan ilmu yang menyokong kelestarian hijau di Taman Konservatori adalah program penghasilan kompos dari daun dan ranting kayu pokok sekitar Institut Biosains, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) penanaman pokok oleh agensi luar UPM, Program Kem Cuti Sekolah (Dunia Herba), program gotong-royong secara berkala, bengkel tumbuhan ubatan, kursus tisu kultur, dan program lawatan sambil belajar dari dalam dan luar negara. 

Taman Konservatori ini juga telah menarik ramai pengunjung dari pelbagai negara seperti Sweden, China, India, Korea Selatan, Jepun, dan Indonesia. Pengunjung yang hadir ke Taman Konservatori ini diberikan pendedahan mengenai penggunaan sumber tumbuhan sebagai bahan perubatan, bahan masakan, dan kegunaan lain dalam kehidupan seharian. Program-program ini bukan hanya bertujuan untuk mengekalkan kehijauan di dalam kampus, malah turut menyumbang kepada pencapaian UI-Greenmetric World University.

Semoga program-program seperti ini dapat diteruskan, kerana ia tidak hanya memberi impak positif kepada alam sekitar, tetapi juga memberikan manfaat terapeutik kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti penanaman. Dengan penglibatan diri dan berperanan sebagai penjaga alam, ia turut mencipta kesedaran kolektif mengenai pentingnya pemeliharaan bumi untuk generasi akan datang. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mengembalikan kehijauan dan kelestarian alam semula jadi, agar bumi yang kita cintai ini dapat terus diwarisi dalam keadaan yang lebih baik.

 

 

 

 

Date of Input: 31/01/2025 | Updated: 31/01/2025 | azah

MEDIA SHARING

INSTITUTE OF BIOSCIENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 2207
03 - 9769 2111
X, (10:18:49pm-10:23:49pm, 18 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]