Bidang Pengajian Guna Sama | INSTITUT BIOSAINS
» AKADEMIK » Program Pasca Siswazah » Bidang Pengajian Guna Sama

Bidang Pengajian Guna Sama

1.  Bioinformatik & Biologi Sistem
2.  Bioteknologi Sel
3.  Biologi Keimunan
4.  Bioteknologi Enzim
5.  Bioteknologi Industri
6.  Bioteknologi Mikrob
7.  Ekosistem Marin dan Air Tawar
8.  Genetik
9.  Farmakologi & Toksikologi 
10.Mikrobiologi
 
 
1. Bioinformatik & Biologi Sistem
Bidang pengajian bioinformatik melibatkan aplikasi pengetahuan sains komputer dan teknologi maklumat untuk menganalisis, menterjemahkan dan mengurus data genomik dan proteomik yang kian bertambah saban hari, Ia merupakan salah satu komponen penting dalam bidang biologi sistem yang menekankan kajian orgnanisma sebagai satu sistem yang lengkap, yang terdiri daripada komponen-komponen biologi yang tersendiri: daripada molekul ke sel, laluan metaboliknya serta interaksi antaranya. Bidang pengajian ini meliputi pendekatan multidisiplin daripada bioinformatik, genomik, proteomik, biokimia sel dan protein, genetik asas dan lain-lain lagi. Pengetahuan di dalam biologi sistem adalah penting untuk memberi pengetahuan dan pemahaman tentang jaringan gen dan protein yang terlibat dalam isyarat intrasel, komunikasi antara sel dan tapak metabolik sel. Lapangan pengajian ini juga sekarang menjadi asas kepada kebanyakan bidang biologi dan perubatan. 
 
 

Profesor Dr. Tan Wen Siang
Profesor Dr. Abdul Rahman Omar
Profesor Madya Dr. Zalinah Ahmad
Profesor Madya Dr. Cheah Yoke Kqueen
Profesor Madya Datin Dr. Sharida Fakurazi 


 
2. Bioteknologi Sel
Bioteknologi sel telah menjadi salah satu bidang utama dalam sains hayat. Penemuan teknologi seperti kejuruteraan genetik yang termasuk pengklonan, DNA rekombinan dan pemindahan gen telah membawa kepada pembangunan dalam bioteknologi sel haiwan. Aplikasi bioteknologi haiwan termasuk pengeluaran farmaseutikal yang baru dan lebih baik, ujian berasaskan sel dan menyediakan haiwan terpilih untuk kajian penyakit. Penyelidikan menggunakan sel-sel haiwan telah menyumbang kepada perkembangan dalam penyelidikan sel stem bagi perubatan regeneratif, kejuruteraan tisu, ungkapan kajian gen dalam sel haiwan, pengeluaran protein rekombinan, produk terapeutik dan vaksin virus, pembangunan dalam ujian berasaskan penemuan dadah dan kajian ketoksikan. Penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini berpotensi akan menyumbang kepada pengeluaran produk biofarmaseutikal untuk aplikasi perubatan.
 

Profesor Madya Dr. Noorjahan Banu Mohamed Alitheen


 
3. Biologi Keimunan
Biologi Keimunan adalah bidang pengajian ke atas sistem imun dan fenomena keimunan yang berfungsi untuk melindungi tubuh dari pencerobohan bahan asing.  Biang ini  meliputi penyelidikan asas struktur, perkembangan, pertumbuhan dan fungsi sel dan organ sistem imun (imunologi asas).  Hasil penyelidikan seperti ini telah membolehkan aplikasi prinsip-prinsip keimunan, contohnya dalam ujian diagnostik (tindakbalas antigen-antibodi), ujian diagnosis kesihatan (esei fungsi sel dan humoral) dan pencegahan penyakit (imunisasi).  Bidang ini juga mengguna pakai ilmu asas imunologi untuk memahami bagaimana kecacatan dalam sistem imun boleh mengakibatkan penyakit seperti jangkitan, alahan, penyakit autoimun dan penyakit ‘graft versus host’ dengan tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan kesihatan termasuk dalam pencegahan, diagnosis dan rawatan.
 
 

Profesor Dr. Abdul Rahman Omar 
Profesor Madya Dr. Maha Abdullah  
Dr. Chong Chou Min 
 

 
4. Bioteknologi Enzim
Topik ini merangkumi enzim-enzim makanan yang penting seperti kumpulan oksodoreduktase dan hidrolase. Bidang ini merangkumi peringkat asas dan gunaan enzim termasuk ciri-ciri enzim, kinetik, ciri-ciri struktur dan fungsi, dan aplikasinya. Teknik molekular digunakan bagi meningkatkan ciri-ciri enzim bagi memperbaiki penggunaan enzim dalam pemprosesan makanan dan pengekalan kualiti makanan diberi perhatian sewajarnya.
 
 
Profesor Dr. Lai Oi Ming
Profesor Dato' Dr. Abu Bakar Salleh  
Profesor Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abd. Rahman
Profesor Dr. Foo Hooi Ling
 

 
5. Bioteknologi Industri
Bioteknologi industri adalah aplikasi bioteknologi untuk tujuan industri, termasuk pengilangan, tenaga alternatif dan biobahan. Bidang ini merupakan bidang utama dalam kajian pembangunan bagi pengkomersialan pelbagai produk bioteknologi dan biopemprosesan industri dengan menggunakan enzim dan sel-sel biologi (mikroorganisma, tumbuhan dan haiwan) atau keadaan bioproses fisiologi mereka.  Bidang bioteknologi industri memberikan impak yang besar dalam sektor bahan kimia, membolehkan penukaran sumber-sumber boleh diperbaharui seperti selulosa, kanji, gula dan minyak tumbuhan, dan biopenukaran bahan mentah menggunakan proses-proses bioteknologi (termasuk biokatalisis) kepada pelbagai bahan kimia dan produk bioteknologi yang mana tidak dapat dilakukan menggunakan proses sintetik atau kimia. Bioproduk in termasuklah bahan-bahan kimia, farmaseutikal, biowarna, pelarut, bioplastik, vitamin, penambah makanan, bioracun dan biominyak cecair seperti bioetanol dan biodiesel.
 
 
Profesor Dr. Arbakariya Ariff
Profesor Dr. Lai Oi Ming 
Profesor Madya Dr. Adam Leow Thean Chor 
 

 
6. Bioteknologi Mikrob
Bioteknologi mikrob merupakan bidang yang mengeksploitasikan mikroorganisma menggunakan pelbagai pendekatan bioteknologi untuk kegunaan dalam bidang biologi dan industri. Ciri spesifik biokimia dan fisiologi mikroorganisma dikaji dan dioptimumkan berdasarkan teknologi omiks, pendekatan biologi sistem atau sintetik untuk mentransformasikan mikroorganisma kepada kilang sel untuk penghasilan molekul yang berguna.  Manipulasi mikroorganisma melalui strategi bioteknologi yang canggih akan membawa kepada kejayaan seperti penghasilan pengawalan penyakit-diagnostik yang lebih berkesan, agen mikrob yang lebih baik untuk kawalan biologi perosak tumbuhan dan haiwan untuk pengurangan virulen, pembangunan pemangkin industri dan organisma fermentasi yang baru, dan penghasilan ejen mikrob baru untuk bioremediasi tanah dan air yang tercemar. Penyelidikan bioteknologi mikrob adalah juga penting bagi kemajuan dalam bidang keselamatan makanan,  bioteknologi, produk tambah nilai, pemakanan manusia dan makanan fungsian, perlindungan loji dan haiwan, dan untuk melanjutkan penyelidikan asas dalam pelbagai bidang.
 

Profesor Dr. Raha Abdul Rahim
Profesor Dr. Norhani Abdullah 

 


 
7. Ekosistem Marin dan Air Tawar
Bidang pengajianan ini meliputi ekosistem daratan dan marin berhubung dengan aliran tenaga, kitaran biogeokimia, dinamik ekosistem akuatik dan kesan pencemaran oleh manusia.
 
 
 
Profesor Dr. Fatimah Md. Yusoff
Profesor Dato’ Dr. Mohamed Shariff  Mohamed Din   
Profesor Dr. Aziz Arshad 
Profesor Madya Dr. Muta Harah Zakaria @ Ya 
Dr. Annie Christianus 
Dr. Sanjoy Banerjee
Dr. Norio Nagao 
Dr. Natrah Fatin Mohd. Ikhsan 
 

 
8. Genetik
Penyelidikan semasa dalam domain ini memberi tumpuan kepada pemuliharaan dan pencirian haiwan dan tumbuhan. Kajian ini menggunakan teori dan kaedah genetik terkini, termasuk genomik dan proteomik termaju dalam haiwan bagi mengkaji struktur biomolekul dan hubung kait mereka terhadap fungsi dan manipulasi genetik sel haiwan dan tumbuhan berbiji. Terdapat juga kajian untuk mengetahui dengan mendalam tentang evolusi dan sejarah kehidupan bagi haiwan dan tumbuhan, memahami kepentingan variasi genetik kepada kewujudan mereka, dan mengenal pasti kaedah yang diperlukan untuk memulihara mereka dalam persekitaran semulajadi dan makmal. Antara kajian yang terlibat termasuk pemuliharaan spesies orkid dengan menggunakan teknik molekul terkini dan pengkulturan benih orkid in vitro, pencirian genetik bagi buah-buahan tempatan, kulat dan herba dengan menggunakan penanda DNA, isolasi dan ekspresi gen untuk memahami struktur dan fungsi gen, dan pembangunan penanda DNA. Antara bidang kajian juga termasuk aspek molekular pada haiwan (terutamanya hidupan liar yang endemik dan terancam) bagi memahami dan memulihara biodiversiti melalui penyelidikan genetik.
 
 
Profesor Madya Dr. Faridah Qamaruz Zaman 
Profesor Madya Dr. Yuzine Esa
 

 
9. Farmakologi & Toksikologi 
Bidang pengajian ini menjurus kepada kajian saintifik interaksi drug dan racun/biohazard ke atas sistem biologi secara in vivo atau in vitro, atau kedua-dua sekali. Bidang ini meliputi kajian farmako/toksiko-dinamik, farmako/toksiko-kinetik, tindakan drug/toksin, tindak balas badan terhadap drug, interaksi drug-drug/toksin secara spesifik dan perubahan parameter yang dikaji. Kajian tentang laluan dan mekanisma tindak balas turut diberi penekanan. Termasuk juga penilaian ekstrak, sebatian bioaktif daripada sumber semula jadi (tumbuhan dan haiwan) atau sintetik serta potensinya dalam penemuan drug dan fungsi fisiologi berkaitan dengan masalah toksikologi.
 
 
 

 
10. Mikrobiologi
Mikrobiologi adalah satu bidang kajian organisma mikroskopik. Oleh kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar, kewujudan mereka pada awalnya telah dikaitkan dengan pelbagai penyakit. Berikutan ciptaan mikroskop, bidang ini telah berkembang dan maju menembusi pelbagai disiplin penyelidikan. Mikrobiologi adalah bidang pengajian yang merangkumi banyak cabang sains tulen dan gunaan. Ini merangkumi fisiologi, selular dan struktur biologi, genetik, biokimia, bioteknologi nano dan astro, biologi molekul, sistematik dan taksonomi, bioteknologi alam sekitar, ekologi dan virologi. Walaupun dikaitkan dengan penyakit, mikrob adalah berfaedah dalam pelbagai proses industri. Mereka telah dieksploitasi dengan kesan meluas dalam mengekalkan dan menambah baik kehidupan manusia seperti dalam penghasilan antibiotik, asid amino, enzim dan biopolimer yang direka untuk aplikasi perubatan, dan dalam bioremediasi sisa domestik, pertanian dan industri. Walaupun mikroorganisma telah dikaji selama lebih 400 tahun, sehingga kini, identifikasi dan ciri-ciri mereka masih tidak lengkap. Ini menyorot kepada kepentingan bidang Mikrobiologi untuk penerokaan masa hadapan.

 

Prof. Dr. Tan Wen Siang
Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Yusoff
Prof. Dr. Foo Hooi Ling
Prof. Madya Dr. Chia Suet Lin
Prof. Madya Dr. Nurulfiza Mat Isa
Prof. Dr. Zunita Zakaria
Prof. Madya Dr. Yaya Rukayadi
Prof. Dr. Wong Mui Yun
Prof. Madya Dr. Tan Geok Hun
Dr. Adelene Song Ai Lian

 
 

Kemaskini:: 12/12/2022 [azah]

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045
03 - 9769 2101
SXETHAq~