Tinjauan Lokasi Program Pengukuhan Kerja Berpasukan IBS 2025 | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » Tinjauan Lokasi Program Pengukuhan Kerja Berpasukan IBS 2025

Tinjauan Lokasi Program Pengukuhan Kerja Berpasukan IBS 2025

17 Jun 2025 - Seramai 13 orang delegasi daripada Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia telah mengadakan lawatan tinjauan lokasi bagi Program Pengukuhan Kerja Berpasukan IBS 2025. Tinjauan ini berlangsung di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), UiTM Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Delegasi ini telah diketuai oleh Pengarah IBS, Profesor Dr. Zunita Zakaria.

Ketibaan delegasi IBS telah disambut mesra oleh Timbalan Pendaftar ILD, Puan Rozalina binti Rukli bersama pasukan pentadbirannya. Sesi pengenalan dimulakan dengan penerangan oleh Puan Rozalina mengenai latar belakang ILD serta fasiliti-fasiliti yang ditawarkan, termasuk beberapa kemudahan lain yang setara dengan ILD Bandar Enstek.

Objektif utama tinjauan ini adalah untuk menilai kesesuaian fasiliti dan kemudahan yang bakal digunakan bagi program yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober 2025. Sepanjang lawatan, pihak delegasi telah dibawa meninjau bilik seminar, auditorium, kafetaria, serta kesemua bilik penginapan yang disediakan untuk para peserta. Keseluruhan fasiliti yang lengkap, bersih dan kemas telah menepati citarasa serta piawaian pihak pengurusan IBS.

Selain itu, pihak sekretariat program turut meninjau dan mencuba aktiviti laluan berhalang (obstacle course) serta mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk aktiviti riadah, sukaneka dan aktiviti berkumpulan. Tinjauan ini juga telah membantu dalam mengenal pasti potensi pengisian program yang selaras dengan tema yang dirancang dan mempertimbangkan beberapa aktiviti serta aspek keselamatan yang perlu diambilkira.

Diharapkan hasil tinjauan ini dapat memastikan Program Pengukuhan Kerja Berpasukan IBS 2025 berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

 

   
       
   

Tarikh Input: 18/06/2025 | Kemaskini: 18/06/2025 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 2207
03 - 9769 2111
W, (03:05:01pm-03:10:01pm, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]