Oleh Musliyana Mansor
9 September 2024 – Prof. Dr. Zunita Zakaria, Pengarah Institut Biosains dan Puan Musliyana Mansor, Pegawai Sains di Unit Koleksi Kultur Mikrob Universiti Putra Malaysia (UPM-MCC), telah menghadiri National Seminar on the Budapest Treaty anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Menara MyIPO, Petaling Jaya. Berikutan penyertaan Malaysia ke dalam Budapest Treaty pada 30 Jun 2022, seminar ini memberi peluang kepada peserta berkaitan penekanan kepentingan sistem Budapest Treaty dalam meningkatkan pemahaman lebih mendalam berkaitan proses pendepositan mikroorganisma untuk pemfailan paten di Malaysia.
Prof. Dr. Zunita Zakaria juga telah menyampaikan syarahan perkongsian bertajuk ‘Cabaran dan Halatuju Penguatkuasaan Depositari Kebangsaan’ pada hari kedua. Beliau telah berkongsi pengalaman UPM-MCC sejak awal permulaan penubuhan, struktur organisasi, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan, perkhidmatan yang ditawarkan sehinggalah persediaan UPM-MCC sebelum diwartakan sebagai Pihak Berkuasa Depositari Kebangsaan (NDA).
Pada 27 Mac 2024, UPM-MCC telah diwartakan secara rasmi oleh pihak MyIPO sebagai NDA yang pertama di Malaysia. Seterusnya, pada 26 April 2024 pula, UPM-MCC yang diwakili oleh YBhg. Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM telah menerima sijil NDA daripada YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN 2024).


Tarikh Input: 23/09/2024 | Kemaskini: 24/09/2024 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my