28 Ogos 2026 – Program Talent@IBS bagi Pembentangan Teknikal Staf Makmal, Institut Biosains (IBS) siri ke-20 tahun 2026 telah berjaya dilaksanakan di Bilik Tongkat Ali Emas, IBS. Program anjuran Sekretariat Pengurusan Perkhidmatan Makmal IBS ini menghimpunkan kumpulan kakitangan makmal dan mengetengahkan dua pembentangan teknikal yang memfokuskan kepada penyediaan nano-emulsi serta asas sel kultur.
Sesi pertama telah dikendalikan oleh Puan Norhayati Yusuf, Penolong Pegawai Sains dari Makmal Vaksin dan Biomolekul (VacBio). Menerusi pembentangan bertajuk "Penyediaan Nano-Emulsi Minyak Habbatus Sauda", beliau memperincikan lapan langkah kritikal dalam memformulasikan nano-emulsi yang stabil. Penekanan diberikan kepada proses penyediaan fasa minyak dan fasa air menggunakan surfaktan serta ko-surfaktan, diikuti dengan kaedah pengacauan berkelajuan tinggi. Beliau turut mendemonstrasikan kepentingan teknik sonikasi ultrasonik serta pengawalan suhu menggunakan mandian ais bagi mengekalkan integriti bahan aktif pada skala nanometer, seterusnya menghasilkan emulsi nano yang jernih dan stabil untuk aplikasi lanjutan.
Pembentangan kedua diteruskan oleh Puan Emi Nadia Mohd Thani, Penolong Pegawai Sains, dengan tajuk "Asas Sel Kultur". Beliau membawa para peserta menyelami proses di sebalik tabir penyelidikan penawar kanser di makmal, bermula daripada langkah penyediaan medium, pencairan sel, sub-kultur, sehinggalah kepada pengiraan sel menggunakan hemositometer. Selain itu, Puan Emi Nadia turut berkongsi mengenai prosedur esei sitotoksisiti MTT, di mana kompaun aktif diuji terhadap sel kanser untuk mendapatkan nilai IC50 yang menentukan keberkesanan sesuatu rawatan. Beliau turut menegaskan peranan penting ujian mikoplasma dan kawalan kualiti yang ketat bagi mengelakkan pencemaran silang dalam kultur sel.
Encik Rafiuz Zaman Haroun, Ketua Sekretariat Perkhidmatan Makmal IBS dalam ucapannya menekankan tentang kepentingan staf makmal untuk memiliki pengetahuan teknikal yang menyeluruh, keupayaan mengendalikan perkhidmatan yang ditawarkan dengan baik dan dapat menghasilkan keputusan yang boleh dipercayai. Selain itu, perbandingan Keputusan antara makmal juga sangat digalakkan.
Sesi diakhiri dengan taklimat ringkas daripada Puan Zufliha Zakaria berkenaan SOP verifikasi jangkasuhu merkuri yang telah dibangunkannya untuk kegunaan staf makmal IBS.
Program bulanan Talent@IBS ini diharap dapat terus memperkasa pengetahuan teknikal dan meningkatkan kefahaman staf mengenai pengendalian peralatan serta teknik makmal khusus, selain menjadi platform utama untuk pertukaran idea dan pengalaman dalam kalangan staf makmal IBS.
![]() |
![]() |
||
![]() |
![]() |
||
![]() |
![]() |
Tarikh Input: 02/09/2026 | Kemaskini: 02/09/2026 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my