Program Talent@IBS Siri Ke-3, Perkukuh Kefahaman Pengurusan Latihan Dan Cuti Staf | INSTITUT BIOSAINS ibs
» BERITA » Program Talent@IBS Siri ke-3, Perkukuh Kefahaman Pengurusan Latihan dan Cuti Staf

Program Talent@IBS Siri ke-3, Perkukuh Kefahaman Pengurusan Latihan dan Cuti Staf

28 Ogos 2026 – Warga kerja Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) berpeluang memperkukuh kefahaman berkaitan dua aspek penting dalam pengurusan staf, iaitu pengurusan latihan dan cuti menerusi Program Talent@IBS Staf Pelaksana yang telah memasuki siri ketiga penganjurannya.

Program yang berlangsung pada Jumaat, 28 Ogos 2026, bertempat di Bilik Seminar Tongkat Ali Emas, IBS, UPM, dari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang ini memberi penekanan kepada pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan keperluan tugas harian staf, khususnya dalam memahami prosedur pengurusan sumber manusia di UPM.

Sesi pertama disampaikan oleh Puan Nor Hamizah Mashud yang berkongsi mengenai Prosedur Pengurusan Latihan Pekerja UPM dengan memberi fokus kepada aspek penilaian. Perkongsian ini membantu staf memahami perkara dan keperluan pasca latihan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan pengurusan serta rekod latihan dilaksanakan dengan tepat dan selaras dengan prosedur yang ditetapkan.

Sesi kedua yang disampaikan oleh Puan Nur Haizum Halmi pula berfokus kepada Prosedur Pengurusan Cuti Staf UPM. Sesi ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai tatacara pengurusan permohonan cuti serta pertimbangan berkaitan, di samping memberi peluang kepada peserta untuk bersoal jawab dan mendapatkan pencerahan bagi isu-isu pengurusan cuti yang dihadapi.

Sesi soal jawab yang diadakan pada penghujung program mendapat sambutan yang baik apabila peserta mengemukakan pelbagai soalan berkaitan pengurusan latihan dan cuti. Respons tersebut menunjukkan tahap fokus dan minat peserta untuk mendapatkan penjelasan yang lebih jelas serta memahami pelaksanaan prosedur dalam konteks tugas masing-masing.

Penganjuran Talent@IBS Staf Pelaksana buat kali ketiga ini mencerminkan komitmen berterusan IBS dalam memperkasa kompetensi staf melalui perkongsian ilmu yang relevan dengan keperluan tugas. Inisiatif ini turut menyediakan ruang kepada staf untuk bertukar pandangan, mendapatkan penjelasan secara langsung serta meningkatkan kefahaman terhadap prosedur dan proses kerja yang berkaitan.

Program Talent@IBS Staf Pelaksana akan diteruskan dengan topik dan perkongsian yang bersesuaian berdasarkan keperluan staf. Pendekatan ini diharap dapat menyokong pembangunan kompetensi secara berterusan serta memupuk budaya pembelajaran dan perkongsian ilmu dalam kalangan warga IBS.

 
   

Tarikh Input: 02/09/2026 | Kemaskini: 02/09/2026 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 2111
03 - 9769 2111
X, (05:05:06pm-05:10:06pm, 04 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]