Program Talent@IBS - Pembentangan Teknikal Skim C IBS Siri 18 2026 | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » Program Talent@IBS - Pembentangan Teknikal Skim C IBS Siri 18 2026

Program Talent@IBS - Pembentangan Teknikal Skim C IBS Siri 18 2026

22 Jun 2026 – Program Talent@IBS bagi Pembentangan Teknikal Skim C Institut Biosains (IBS) siri ke-18 tahun 2026 telah dilaksanakan di Unit Mikroskopi, IBS. Pembentangan teknikal ini menghimpunkan kumpulan kakitangan makmal yang terdiri daripada pegawai sains, penolong pegawai sains, pegawai eksekutif dan pembantu makmal. Program anjuran Sekretariat Pengurusan Perkhidmatan Makmal IBS ini mengetengahkan tiga pembentangan teknikal yang memfokuskan kepada aplikasi instrumentasi analitik dan metodologi molekul.

Sesi pertama dikendalikan oleh Puan Anidazura Zulkiffli, Pegawai Sains Gred C9 dari Laboratori Kesihatan dan Terapeutik Haiwan Akuatik. Menerusi pembentangan bertajuk Application of YSI in Water Resource and Aquaculture Monitoring, beliau membincangkan metodologi pemantauan parameter kualiti air secara komprehensif dalam ekosistem akuakultur dan persekitaran semula jadi menggunakan instrumen sensor YSI.

Penekanan diberikan terhadap kepentingan mengekalkan kelestarian keseimbangan ekologi antara persekitaran, perumah, dan patogen sebagai langkah profilaktik terhadap patologi ikan dan jaminan sekuriti makanan. Beliau turut memperincikan aspek utiliti lapangan yang merangkumi protokol penentukuran (kalibrasi), orientasi prob yang optimum dalam medium bendalir aktif, serta pelaksanaan penganalisisan data secara proaktif.

Pembentangan kedua  oleh Cik Noraini Omar, Penolong Pegawai Sains gred C5 dari Laboratori Vaksin dan Biomolekul, dengan tajuk Cracking the Cage: Nucleic Acid Purification menerangkan tentang tinjauan teknikal komprehensif berhubung proses penulenan asid nukleik, dengan memfokuskan kepada pengoptimuman metodologi bagi isolasi asid deoksiribonukleik (DNA) dan asid ribonukleik (RNA) berketulenan tinggi. Beliau menggariskan parameter kawalan mutu yang kritikal bagi memastikan integriti bahan genetik mematuhi piawaian spesifikasi bagi aplikasi analitik hiliran yang kompleks, terutamanya untuk kegunaan Penjujukan Generasi Baharu (Next-Generation Sequencing - NGS).

Bagi sesi ketiga, Puan Farrah Deba Jamiauddin, Penolong Pegawai Sains gred C6 dari Unit Mikroskopi (EM), menunjukkan  Demonstration of Knife Making. Sesi ini meliputi kerangka teori dan demonstrasi teknikal mengenai fabrikasi pisau kaca (glass knife) menggunakan instrumen Leica Glass Knife Maker.

Penghasilan instrumen pemotongan berspesifikasi tepat ini merupakan prosedur pra-analitik yang fundamental bagi penyediaan spesimen Mikroskop Elektron Transmisi (TEM). Teknik pembelahan kaca paksi ultra-nipis yang jitu adalah mandatori bagi menjamin pemerolehan keratan rentas sampel yang optimum, sekaligus memastikan resolusi mikrograf dan ketepatan diagnostik struktur ultra tidak terjejas.

Pembentangan diakhiri dengan sesi taklimat  oleh Encik Rafiuz Zaman Bin Haroun, Ketua Sekretariat Pengurusan Perkhidmatan Makmal IBS. Beliau menerangkan  tentang inisiatif penganjuran program Greenlab@IBS, yang diselaraskan dengan penganjuran Bulan Sinergi Putra Universiti Putra Malaysia (UPM).

Antara intervensi kelestarian yang dijadualkan dalam fasa terdekat ialah penganjuran Greenbench Market. Sesi ditutup dengan ucapan kepada seluruh jawatankuasa pengurusan makmal atas sinergi dan komitmen berterusan dalam menjayakan agenda kelestarian saintifik di peringkat universiti.

Semoga program bulanan Talent@IBS ini diharap dapat memperkasa pengetahuan teknikal dan meningkatkan kefahaman staf mengenai pengendalian peralatan serta teknik makmal khusus selain menjadi platform untuk pertukaran idea dan pengalaman dalam kalangan staf makmal IBS.

   
       
   

Tarikh Input: 24/06/2026 | Kemaskini: 24/06/2026 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 2207
03 - 9769 2111
X, (07:02:17pm-07:07:17pm, 04 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]