05 Jun 2026 – Program Talent@IBS bagi Pembentangan Teknikal Skim C Institut Biosains siri ke 17 2026 telah berjaya dilaksanakan bertempat di Unit Mikroskopi, IBS dengan kehadiran staf makmal IBS. Program anjuran Sekretariat Pengurusan Perkhidmatan Makmal IBS ini menampilkan dua orang pembentang iaitu En. Salahudin Mohd Raof dan En. Azmi Mohd Amban.
En. Salahudin Mohd Raof merupakan pegawai sains (gred C10) yang bertugas di Laboratori Penyelidikan Ubatan dan Produk Semulajadi (NaturMeds) IBS. Pembentangan beliau bertajuk “The Power of NMR” telah memberi pendedahan mengenai prinsip asas Nuclear Magnetic Resonance (NMR), serta keupayaan teknik ini dalam mengenal pasti struktur, dinamik, komposisi dan persekitaran molekul pada aras atom. Aplikasi NMR yang meluas dalam pelbagai bidang penyelidikan dan industri turut dikongsikan. Selain itu, sistem baharu Bruker NMR System 600 MHz yang telah dipasang di NaturMeds, IBS turut diperkenalkan sekali gus memperkukuhkan keupayaan penawaran perkhidmatan analisis NMR yang cemerlang dan melonjak aktiviti penyelidikan dan pembangunan berimpak tinggi.
En. Azmi Mohd Amban, penolong pegawai sains (gred C6) di Unit Mikroskopi IBS pula membentangkan tentang kelebihan tempe sebagai superfood di bawah pemerhatian menggunakan metodologi berasaskan mata kasar, mikroskop cahaya, mikroskop elektron untuk struktur 3D berdefinisi tinggi dan spektroskopi sinar-X (EDX) untuk analisis atom bagi komposisi kimia organik. Jaringan hyphae menyingkap kompleksiti benang kulat yang membentuk rangkaian tiga dimensi luar biasa dan bertindak sebagai gam semulajadi yang mengikat struktur dan memegang setiap molekul tempe secara fizikal. Rahsia tempe terasa padat apabila dipegang tetapi lembut apabila dikunyah terletak pada tekstur seni keliangan di mana terdapat ruangan udara mikro berongga yang membenarkan peredaran oksigen berterusan untuk menyokong fermentasi aktif Rhizopus Oligosporus. Pada magnitud pembesaran 10,000x, tersingkap entiti bakteria yang hidup di celahan tisu kacang soya. Ia berfungsi untuk membantu penghasilan vitamin B12. Sebagai kesimpulannya, tempe bukan sekadar makanan biasa tetapi merupakan sebuah ekosistem kecil yang berfungsi sempurna.
Selepas sesi pembentangan selesai, En Rafiuz Zaman Bin Haroun, Ketua Sekretariat Pengurusan Perkhidmatan Makmal IBS telah menyampaikan taklimat berkaitan program Greenlab@IBS sempena bulan Sinergi Putra UPM. Terdapat lima program yang akan dijalankan iaitu Smart Log IBS, Lab Resources Sharing Platform, Freezer Clean-Up Day, Labcycle dan Greenbench market.
Program bulanan Talent@IBS diharap dapat memperkasa pengetahuan teknikal dan meningkatkan kefahaman staf mengenai pengendalian peralatan serta teknik makmal khusus selain menjadi platform untuk pertukaran idea dan pengalaman dalam kalangan staf makmal IBS.
![]() |
![]() |
||
![]() |
![]() |
Tarikh Input: 13/06/2026 | Kemaskini: 13/06/2026 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my