Perbincangan Kolaborasi Dan Pertukaran Kepakaran Bersama Bactolife | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » Perbincangan Kolaborasi dan Pertukaran Kepakaran Bersama Bactolife

Perbincangan Kolaborasi dan Pertukaran Kepakaran Bersama Bactolife

22 Januari 2026 – Satu sesi perbincangan kolaborasi telah diadakan di antara Kumpulan Penyelidikan IDRP - Lactic Acid Bacteria (LAB) Biota Technology yang diterajui oleh Prof. Foo Hoi Ling bersama pihak pengurusan Bactolife, sebuah syarikat pemula dari Denmark. Sesi perbincangan tersebut diadakan bermula dari jam 3.00 sehingga 5.00 petang bertempat di Bilik Kesidang Utama, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM). Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Chia Suet Lin, Ketua, Laboratori Penyelidikan Kanser UPM-MAKNA. Sesi perbincangan tersebut dimulakan dengan pengenalan tentang Institut Biosains, UPM yang merangkumi latar belakang institut, bidang kepakaran penyelidikan, kemudahan makmal serta fokus penyelidikan. Sesi ini turut dihadiri oleh sembilan orang ahli penyelidik daripada LAB Biota Technology , yang terlibat secara aktif dalam perbincangan.

Tujuan utama perbincangan adalah untuk bertukar pandangan dan mendapatkan input kepakaran berkaitan hala tuju saintifik dan klinikal produk yang dibangunkan oleh Bactolife. Pihak Bactolife menyatakan bahawa mereka sedang mencari pandangan pakar mengenai penentuan kedudukan klinikal produk, jangkaan bukti saintifik serta laluan pengesahan yang bersesuaian dengan piawaian dan keperluan regulatori di Malaysia. Perbincangan turut merangkumi keperluan kajian praklinikal dan klinikal, serta pendekatan penyelidikan yang berpotensi untuk menyokong tuntutan keberkesanan produk berasaskan LAB.

Lawatan delegasi Bactolife ini juga bertujuan untuk memahami pengalaman dan keupayaan penyelidikan Institut Biosains, UPM, serta meneroka kemungkinan wujudnya skop kerjasama saintifik atau pendidikan pada masa hadapan. Secara keseluruhannya, sesi perbincangan berlangsung dalam suasana yang konstruktif dan interaktif, serta membuka ruang kepada potensi kolaborasi strategik yang boleh memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.

Tarikh Input: 29/01/2026 | Kemaskini: 29/01/2026 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 2207
03 - 9769 2111
W, (10:13:16am-10:18:16am, 26 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]