13 Ogos 2025 – Bersempena Program Semarak Merdeka UPM 2025, Institut Biosains (IBS) telah menyertai Pertandingan Kibar Jalur Gemilang. IBS telah menetapkan slogan Malaysia, Kami Bangga! Sesi penjurian ini telah berlangsung pada jam 9.30 pagi.
Delegasi 15 orang juri daripada Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSAAS) diketuai oleh Encik Huzalshah Rizal Hussain serta 10 orang jurukamera jemputan telah hadir bagi sesi penjurian ini.
Delegasi tiba menaiki bas Universiti Putra Malaysia dan disambut mesra oleh Pengarah Institut Biosains, Profesor. Dr. Zunita Zakaria dan dibawa ke foyer utama IBS.
Program Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Institut Biosains ini telah mendapat sokongan penuh daripada warga IBS. Seramai 9 orang ahli pengurusan, 15 orang pelajar pasca siswazah dan 93% dari jumlah keseluruhan staf IBS telah bersama-sama menjayakan program ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia. Satu jumlah kehadiran yang membanggakan dan melambangkan semangat patriotik warga IBS terhadap negara!
Perarakan dimulakan oleh Ketua Kontinjen IBS, Prof. Dr. Ina Salwany Md. Yassin yang merupakan Timbalan Pengarah IBS. Sesi penyerahan tepak sireh oleh Ketua Kontinjen kepada Pengarah IBS telah dilakukan sebagai simbolik melambangkan keharmonian dan tanda semangat patriotisme warga IBS kepada negara tercinta.
Terdapat 4 kontinjen utama perarakan yang menyertai program ini yang terdiri daripada perarakan Makanan Kebanggaan Malaysia di mana demonstrasi teh tarik diadakan. Seterusnya perarakan masuk oleh kontinjen mempamerkan keindahan dan keunikan pakaian kebangsaan pelbagai kaum di Malaysia. Kontinjen ini mendeklamasikan sebuah sajak yang mengangkat kebanggan sebagai rakyat Malaysia.
Kontinjen ketiga membawa masuk kereta nasional Malaysia, Proton Wira milik IBS yang mempunyai banyak memori bagi kesemua warga IBS. Kuiz ringkas telah diadakan untuk diisi oleh Ketua Juri. Kontinjen terakhir membawa sebuah traktor dengan tema setiap tangan membina kejayaan negara. Kontinjen ini menyerahkan hasil pertanian IBS yang bebas racun serangga kepada Ketua Juri.
Foyer IBS bergema dengan bacaan Rukun Negara diketuai oleh Pengarah IBS, disahut oleh semua hadirin termasuk para juri dan diakhiri dengan laungan Malaysia, Kami Bangga! Sesi ini diakhiri dengan sesi fotografi berlatar belakang foyer IBS.
Perhiasan pentas utama IBS telah menggunakan bekas telur terpakai bagi menyokong aspirasi kitar semula. Selain itu, Free Market Merdeka@IBS juga telah diadakan bersempena dengan sambutan kemerdekaan ini. Inisiatif ‘Free Market’ bukan sahaja dapat memberi memberikan peluang warga IBS untuk berkongsi barangan terpakai yang masih elok, namun konsep ini dapat ‘memerdekakan’ diri dari menyimpan barangan yang tidak diperlukan lagi.
“Majlis seperti ini dapat mengertakan ukhuwah antara staf IBS dan menyemarakkan semangat patriotisme warga IBS”, kata Prof. Dr. Zunita Zakaria sebelum menyampaikan cenderahati kepada para juri yang hadir.
Tarikh Input: 18/08/2025 | Kemaskini: 18/08/2025 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my