15 Julai 2024 - Satu lawatan delegasi dari Jabatan Penghasilan Haiwan, Kebajikan dan Sains Veterinar, Universiti Harper Adams (HAU), United Kingdom, telah melawat Makmal Kesihatan Haiwan Akuatik dan Terapeutik (AquaHealth), Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia. Lawatan ini yang diwakili oleh Dr. Tharangani Herath bertujuan untuk melihat lebih dekat operasi dan fasiliti yang terdapat di AquaHealth, serta mengadakan sesi demonstrasi post-mortem. Lawatan ini bermula setelah selesai sesi Let's Talk@IBS Siri 33 bertajuk “Vaksin dalam Akuakultur: Kemajuan Terkini dan Peranan dalam Mengurangkan AMR” pada 15 Julai 2024, di mana beliau menjadi penceramah jemputan. Selesai sesi tersebut, beliau dibawa melawat fasiliti AquaHealth. Pada 16 Julai 2024, beliau mengadakan sesi demonstrasi post-mortem ikan di makmal AquaHealth, beserta sesi perbincangan bersama peserta tentang cabaran dan masalah yang dihadapi. Dr. Tharangani Herath merupakan penyelidik bersama di dalam projek tajaan BactiVac, bersama Profesor Madya Dr. Ina Salwany Md Yasin yang merupakan penyelidik utama. Mereka bekerjasama dalam menjalankan kajian penyelidikan vaksin di Malaysia dan Indonesia, menggunakan produk ViVac, vaksin berasaskan makanan untuk mencegah penyakit vibriosis di dalam ikan.

Tarikh Input: 30/07/2024 | Kemaskini: 30/07/2024 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my