5 Disember 2025 - Serdang, Kursus Kultur Tisu Tumbuhan 2025 anjuran Unit Biodiversiti, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia mencatat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penganjuran sebanyak lapan (8) sesi bermula Jun hingga Oktober 2025. Kursus ini menerima penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk agensi swasta, usahawan pertanian serta agensi kerajaan seperti RISDA dan Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, Perak.
Dijalankan secara one-to-one, kursus ini bertujuan memastikan peserta menguasai pengetahuan dan kemahiran asas kultur tisu tumbuhan secara menyeluruh, merangkumi aspek teori dan praktikal. Latihan merentasi keseluruhan rantaian penghasilan anak pokok bermula dari ladang hingga ke proses aklimatisasi. Antara topik yang diketengahkan termasuk pengenalan teknik asas kultur tisu, penyediaan medium, proses pensterilan, serta pemindahan anak pokok daripada kultur tisu ke polibeg. Keistimewaan kursus ini adalah peserta berpeluang untuk membawa pulang kultur tisu yang berjaya dibangunkan.
Dalam kursus ini, peserta turut dibawa melawat ke Taman Konservatori bagi mengenali pelbagai spesies tumbuhan ubatan serta mendapatkan inspirasi berkenaan potensi komersialisasi tumbuhan.
Pelaksanaan kursus ini dipimpin oleh penceramah dan fasilitator berpengalaman iaitu Puan Julia binti Abdul Aziz, Pegawai Sains dan En. Muhammad Amri Putra bin Safhee, Pegawai Eksekutif. Kursus ini turut diperkukuh dengan penglibatan tenaga pengajar yang lain iaitu Prof. Madya Dr. Noor Baity binti Saidi dan Dr. Nadiya Akmal binti Baharum dari Fakulti Bioteknologi dan Dr. Nurashikin binti Kemat dari Fakulti Pertanian.
Kursus ini turut diperluas kepada pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan bagi meningkatkan pemahaman dan pendedahan awal kepada teknik pembiakan moden. Satu pertandingan kultur tisu turut dianjurkan melibatkan pelajar kolej tersebut, sekali gus menambah elemen pembelajaran berasaskan kompetensi.
Untuk maklumat lanjut mengenai kursus ini, sila hubungi Puan Julia Abdul Aziz di talian 03-9769 2198 atau En. Muhammad Amri Putra bin Safhee di talian 03-9769 2130 / 011-15726550.
Tarikh Input: 17/12/2025 | Kemaskini: 17/12/2025 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my