Kursus Kultur Tisu Tumbuhan | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » Kursus Kultur Tisu Tumbuhan

Kursus Kultur Tisu Tumbuhan

SERDANG – Satu kursus pengklonan tanaman menggunakan teknik kultur tisu telah diadakan selama 3 hari iaitu dari 16 hingga 18 Oktober 2018. Kursus ini mendapat sambutan yang baik dari usahawan tempatan yang mengusahakan tanaman orkid, buah-buahan, tumbuhan akuatik dan nurseri. Kursus yang biasanya diadakan sekali setahun telah dilanjutkan tempohnya berikutan permintaan yang menggalakkan iaitu dari 23 hingga 25 Oktober 2018 yang dihadiri oleh pensyarah dan pelajar dari Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, Perak.

Kultur tisu tumbuhan merupakan kaedah untuk menghasilkan klon bahan tanaman yang sama dengan induk dan seragam. Keseragaman pertumbuhan bahan tanaman merupakan antara perkara yang penting dalam membantu pengurusan sistem penghasilan tanaman untuk memastikan pokok membesar secara seragam dan matang pada masa yang hampir sama.

Objektif kursus ini diadakan adalah untuk memberi latihan teknik asas kultur tisu tumbuhan secara praktikal kepada masyarakat terutama usahawan pertanian, agensi kerajaan, agensi swasta, universiti awam, universiti swasta dan masyarakat yang berminat untuk menceburi bidang bioteknologi tumbuhan. Kursus ini juga merupakan salah satu aktiviti yang boleh mendekatkan universiti dan masyarakat sekaligus akan dapat membantu masyarakat terutama yang menceburi industri pertanian serta dapat meningkatkan jaringan kerjasama komuniti ataupun industri.

Keistimewaan kursus ini, adalah peserta diajar secara praktikal teknik asas untuk membuat formulasi pensterilan tumbuhan dan peserta juga digalakkan membawa tumbuhan yang dikomersilkan bagi membantu membangunkan formula tumbuhan berkenaan. Peserta juga dilatih membuat subkultur, membuat media, memindahkan pokok kultur tisu dari botol ke polibeg, tayangan video kultur tisu tumbuhan dan lawatan ke Taman Konservatori UPM. Bagi melengkapkan ilmu kursus ini, peserta juga menghadiri 2 sesi kuliah kultur tisu tumbuhan dan boleh membawa pulang hasil latihan. Justeru itu, bagi menyokong dan meningkatkan industri pertanian bersama universiti serta permintaan yang menggalakkan dari masyarakat, kursus ini akan diteruskan setiap tahun.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Kursus Kultur Tisu Tumbuhan sila hubungi kami: Puan Julia Abdul Aziz: 03-89472198 / julia_a@upm.edu.my, Puan Noor Hazwani Abdul Rahim: 03-89472130 / hazwani_ar@upm.edu.my, En. Rishzuan Talib: 03-89472175 / rishzuan@upm.edu.my atau En. Muhammad Hajarul Aswad Md Shahir: 03-89472130 / mhaswd@upm.edu.my.

Tarikh Input: 31/01/2019 | Kemaskini: 31/01/2019 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045/ 2109
03 - 8947 2101
B1566495806