12 Februari 2025 – IUPAC Global Women’s Breakfast 2025 @ UPM (GWB2025) anjuran Laboratori Penyelidikan Ubatan dan Produk Semulajadi (NaturMeds), Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Institut Kimia Malaysia (IKM) telah diadakan di NaturMeds, IBS, UPM. Acara ini bersempena dengan Hari Wanita dan Gadis dalam Sains yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan matlamat utama siri GWB untuk mewujudkan rangkaian aktif dari semua jantina dalam menangani halangan kesaksamaan jantina dalam Sains. Dengan penganjuran program ini, saintis dari pelbagai bidang penyelidikan dapat berhimpun untuk sesi sarapan pagi yang interaktif.
Acara ini berfungsi sebagai pemangkin bagi menggalakkan rangkaian aktif dan kerjasama antara penyelidik dalam bidang sains, selaras dengan tema tahun ini, ‘Accelerating Equity in Science’. Selain itu, penganjuran GWB2025 @ UPM ini membuka ruang bagi menonjolkan pendekatan proaktif NaturMeds dalam mempamerkan perkhidmatan makmal dan memupuk kerjasama penyelidikan yang berpotensi, khususnya dalam bidang Penemuan dan Pembangunan Ubat-ubatan.
Program ini disertai oleh penyelidik dan pelajar dari dalam dan luar UPM serta pihak industri. GWB2025 @ UPM bermula dengan sarapan pagi, diikuti ucapan aluan oleh Pengarah Institut Biosains, Prof. Dr. Zunita Zakaria dan Ketua NaturMeds, Prof. Madya Dr. Siti Munirah Mohd Faudzi. Para peserta kemudian dibawa melawat makmal penyelidikan di NaturMeds A untuk melihat fasiliti dan perkhidmatan yang ditawarkan. Aktiviti “cynotype art” bersama Prof. Madya Dr. Faridah Qamaruz Zaman turut diadakan untuk peserta yang hadir. Program ini telah berlangsung sehingga jam 1.00 Tengah hari.
Tarikh Input: 24/02/2025 | Kemaskini: 24/02/2025 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my