17 April – Institut Biosains (IBS) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pelan Strategik Institut Biosains 2026–2030: Melestarikan Agenda ‘True North’ yang berlangsung di Cherengin Hills Convention Resort, Pahang. Penganjuran bengkel ini merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh perancangan strategik institut bagi memastikan kelestarian kecemerlangan penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan IBS selaras dengan aspirasi Universiti.
Bengkel ini bertujuan untuk membincangkan, menilai serta merangka hala tuju strategik IBS bagi tempoh lima (5) tahun akan datang. Fokus utama adalah untuk memastikan setiap perancangan yang digariskan adalah selari dengan visi dan misi universiti di samping mengambil kira keperluan semasa serta cabaran masa hadapan dalam bidang biosains.
Seramai 12 peserta yang terdiri daripada Ahli Pengurusan IBS telah hadir dan terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan yang dijalankan. Sepanjang bengkel, para peserta telah berkongsi pandangan, idea serta cadangan yang bersifat realistik, berdaya saing dan berimpak tinggi. Pendekatan perbincangan yang interaktif ini telah membuka ruang kepada pertukaran idea serta penghasilan strategi yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Perbincangan yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Biosains, Prof. Dr. Zunita Zakaria turut memberi penekanan kepada perancangan pelaksanaan projek khas IBS yang baharu bagi tempoh 2026–2030. Dalam masa yang sama, bengkel ini turut menyemak semula status pelaksanaan projek khas IBS bagi tempoh 2022–2025. Penilaian ini penting bagi mengenal pasti pencapaian, kekuatan serta ruang penambahbaikan yang boleh dimanfaatkan dalam merangka strategi masa hadapan yang lebih mantap.
Selain itu, bengkel ini juga memberi penekanan terhadap aspek pemerkasaan sumber manusia, pengukuhan jaringan kerjasama strategik, peningkatan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi serta usaha mempergiatkan aktiviti pengkomersialan hasil penyelidikan. Elemen-elemen ini dilihat sebagai pemacu utama dalam memastikan IBS kekal relevan dan kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa.
Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam menyediakan satu platform yang kondusif untuk perbincangan strategik dan perancangan masa hadapan IBS. Hasil dapatan dan rumusan daripada bengkel ini akan menjadi panduan utama dalam memacu hala tuju Institut Biosains ke arah kecemerlangan yang berterusan bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Tarikh Input: 28/04/2026 | Kemaskini: 28/04/2026 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my