13 Mac 2025 –Biro Kerohanian, Kelab Kebajikan dan Sosial IBS (KESIB) dengan kerjasama pihak pengurusan IBS telah menganjurkan siri ceramah Ramadan@IBS 1446H bertempat di auditorium IBS.
Sebanyak dua siri ceramah telah berjaya dianjurkan dengan penceramahnya adalah Tuan Haji Haris Dahlan, Pengarah Pusat Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM iaitu pada 6hb Mac dan 13hb Mac 2025. Beliau menekankan tentang kelebihan bulan Ramadan di mana peluang untuk kita mendapatkan rahmat Allah dan peluang untuk memohon keampunan Allah adalah sangat luas. Bulan Ramadan perlu dihayati dengan lebih mendalam dan bukan sekadar berpuasa menahan lapar dan dahaga. Masa yang diberikan sepanjang bulan ini perlu dimanfaatkan dengan aktiviti yang berfaedah untuk dunia dan akhirat.
En. Mohamad Ismail Bin Baharom, Ketua Biro Kerohanian KESIB 2025/2026 menyatakan bahawa siri ceramah ini diadakan khas buat semua ahli KESIB sebagai pengisian kerohanian dan merupakan antara aktiviti-aktiviti yang dirancang bagi mengimarahkan lagi sambutan Ramadan 1446H.
Majlis dimeriahkan lagi dengan edaran sampul raya daripada penceramah kepada semua jemputan yang hadir. Semoga kita semua beroleh manfaat dan Ramadan kali ini lebih bermakna. ‘Ramadan Dirai, Ganjaran Dinikmati’.


Tarikh Input: 25/03/2025 |
Kemaskini: 25/03/2025 | azah
PERKONGSIAN MEDIA