Oleh Khor Pei Shi, Pelajar Latihan Industri dari Universiti Malaysia Terengganu
Semasa latihan industri saya di Laboratori Penyelidikan Kanser UPM-MAKNA (CANRES), Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), saya mendapat peluang yang tidak ternilai untuk melangkah ke dalam persekitaran penyelidikan kanser yang profesional dan memindahkan pengetahuan teori yang diperoleh semasa pengajian sarjana muda saya kepada kemahiran makmal secara praktikal. Pengalaman ini membolehkan saya meneroka kultur sel mamalia, teknik penyelidikan kanser, dan asai berasaskan sel seterusnya membina keyakinan yang lebih tinggi untuk bekerja secara berdikari di dalam makmal penyelidikan.
Sebahagian besar daripada latihan saya melibatkan kultur sel mamalia. Saya memperoleh pengalaman praktikal dalam menyediakan media kultur lengkap, menghidupkan semula sel yang disejuk beku, mengekalkan kultur sel, melakukan subkultur, pengiraan sel, dan penyejuk bekuan (cryopreserved). Saya berpeluang bekerja dengan pelbagai jenis sel, termasuk sel MCF-7, MCF-10A, T47D, T47D TAM2, MCF-7 TAM1, MDA-MB-231, SH-SY5Y, HepG2, HaCaT, dan 3T3. Pemerhatian berkala menggunakan mikroskop songsang membantu saya memahami perbezaan morfologi sel, kepadatan, dan kesihatan sel secara keseluruhan. Keseluruhan aktiviti ini turut mengukuhkan pemahaman saya terhadap teknik aseptik serta kepentingan mengekalkan kultur sel yang sihat dan bebas daripada kontaminasi.
Salah satu pengalaman yang paling berharga adalah mempelajari penghasilan sferoid tiga dimensi (3D) menggunakan ultra-low attachment plates. Tidak seperti kultur sel dua dimensi konvensional, sferoid 3D menyediakan model yang lebih mewakili persekitaran mikro tumor. Saya juga mempelajari bahawa faktor-faktor seperti jenis sel, jumlah kepadatan sel, dan keadaan kultur boleh mempengaruhi pembentukan serta saiz sferoid. Walaupun agak mencabar untuk mendapatkan sferoid yang seragam, pengalaman ini mengajar saya tentang kepentingan kesabaran, konsistensi, dan pengoptimuman dalam manjalankan penyelidikan.
Saya juga terlibat dalam beberapa asai menggunakan sel dalam penyelidikan kanser. Saya memperoleh pengalaman praktikal dalam melaksanakan asai MTT dan resazurin untuk menilai kebolehhidupan sel, serta asai calar (scratch assay) untuk mengkaji pergerakan sel. Melalui eksperimen ini, saya belajar betapa pentingnya penyediaan sel yang teliti, pegendalian pipet yang tepat, keadaan rawatan yang konsisten, dan pemerhatian yang sesuai bagi mendapatkan hasil yang boleh dipercayai.
Selain tugasan makmal, saya juga berpeluang menyertai Hari Terbuka CANRES dan Program Jangkauan CANRES 2026. Aktiviti-aktiviti ini membolehkan saya merasai aspek penyelidikan kanser yang berbeza dengan menyumbang kepada komunikasi sains dan libat urus komuniti. Saya terlibat dalam penyediaan bahan promosi seperti risalah, kain rentang, dan bunting, di samping mengambil bahagian dalam mesyuarat, perbincangan, serta aktiviti program. Dengan peluang berinteraksi dengan orang awam memberikan saya pemahaman yang lebih baik tentang kepentingan menyampaikan pengetahuan saintifik dengan cara yang mudah dan boleh difahami. Pengalaman ini turut memantapkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, dan organisasi saya, di samping membolehkan saya memahami bagaimana penyelidikan kanser dapat dihubungkan dengan dan memberi manfaat kepada masyarakat yang lebih luas.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyelia industri saya, Prof. Madya Dr. Chia Suet Lin, atas bimbingan, kesabaran, dan dorongan berterusan beliau sepanjang tempoh latihan industri saya. Kesudian beliau berkongsi pengetahuan dan pengalaman penyelidikan telah banyak memperkaya perjalanan pembelajaran saya. Saya juga amat berterima kasih kepada para penyelidik, pegawai makmal, pelajar pascasiswazah, dan kakitangan di CANRES atas budi baik, bantuan, dan sokongan mereka sepanjang tempoh keberadaan saya di makmal ini.
Secara keseluruhannya, latihan industri saya di CANRES merupakan satu pengalaman yang amat bermanfaat. Ia memantapkan kemahiran teknikal saya dalam kultur sel dan penyelidikan kanser, meningkatkan keyakinan saya dalam melaksanakan prosedur makmal, dan membolehkan saya menimba pengalaman dari aspek saintifik serta kemasyarakatan dalam bidang penyelidikan kanser. Paling penting, perjalanan ini telah mendalami lagi minat saya terhadap penyelidikan kanser dan membekalkan asas yang kukuh untuk pembangunan akademik serta profesional saya pada masa hadapan dalam bidang sains hayat.
![]() |
![]() |
Tarikh Input: 03/09/2026 | Kemaskini: 03/09/2026 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my