Daripada Teori Ke Praktikal: Perjalanan Saya Di UPM-MCC | INSTITUT BIOSAINS ibs
» ARTIKEL » Daripada Teori ke Praktikal: Perjalanan Saya di UPM-MCC

Daripada Teori ke Praktikal: Perjalanan Saya di UPM-MCC

Oleh Shanthini Murugu

Sepanjang menjalani latihan industri di UPM-MCC, saya telah mendapat peluang yang amat bernilai dalam memperkukuh pengetahuan praktikal dalam bidang mikrobiologi selain dapat melaksanakan pelbagai tugasan penting di makmal. Antara tanggungjawab awal saya adalah melupuskan sisa klinikal mengikut prosedur yang berkaitan. Saya juga mempelajari teknik pewarnaan Gram dan pengiraan CFU (Colony Forming Unit). Selain itu, saya membantu mengatur dan menyusun bahan-bahan makmal, dan memastikan semua peralatan serta bahan guna habis diletakkan di tempat yang telah ditetapkan.

Sebahagian besar tugasan saya melibatkan penyediaan media, tugas yang penting untuk proses kultur sampel bakteria. Saya memperoleh pengalaman secara langsung dalam menimbang, mencampur, mensterilkan media menggunakan autoklaf, serta menuangkannya ke dalam piring Petri di bawah keadaan aseptik. Rutin ini meningkatkan ketelitian saya dan mengukuhkan kefahaman tentang kepentingan konsistensi dalam amalan makmal. Bagi projek mini saya, saya telah ditugaskan untuk menguji aktiviti antimikrob pada kepekatan berbeza bagi agen terpilih terhadap bakteria patogen marin dan ayam.

Selain itu, saya turut terlibat dalam prosedur pengaktifan semula kultur bakteria, di mana strain bakteria yang telah dipelihara diaktifkan semula bagi tujuan kawalan kualiti. Saya mempelajari kepentingan pemilihan media yang sesuai serta keadaan inkubasi yang optimum untuk memastikan pertumbuhan bakteria yang baik. Saya juga berpeluang mempelajari kaedah pengaktifan semula bakteria selepas pemeliharaan menggunakan teknik pengeringan beku. Sepanjang latihan industri ini, saya bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal makmal, malah memperkukuh kemahiran komunikasi dan pendokumentasian. Bekerjasama dengan penyelia dan rakan makmal juga telah meningkatkan kemampuan saya untuk bekerja dalam pasukan dan mematuhi arahan dengan bertanggungjawab.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyelia yang saya hormati, Puan Musliyana Mansor, atas sokongan, bimbingan, dan dorongan yang berterusan sepanjang Latihan industry saya di UPM-MCC. Ucapan terima kasih istimewa juga ditujukan kepada Puan Nor Umaira Abu Asan dan Cik Aina Syafiqah Mohd Alias atas kebaikan hati, kesabaran, dan sokongan sepanjang saya berada di makmal. Saya juga amat menghargai Prof. Dr. Zunita Zakaria dan Prof. Dr. Ina Salwany Md Yasin atas kepimpinan, bimbingan, dan peluang yang diberikan kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada latihan industri yang amat bermakna ini.

Secara keseluruhannya, pengalaman saya di UPM-MCC sangat berharga dan bermanfaat. Ia memberi saya gambaran yang realistik tentang kerja makmal dan penyelidikan mikrob, mengukuhkan minat saya dalam bidang mikrobiologi, serta mendorong saya untuk meneruskan penyelidikan lanjut dalam bidang ini.

Tarikh Input: 04/08/2025 | Kemaskini: 11/08/2025 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 2207
03 - 9769 2111
W, (01:06:55pm-01:11:55pm, 09 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]