oleh Wahdatuss Saufiyah Binti Khalil Hasharie, Pelajar Latihan Industri dari University of Manchester
Apabila kita mendengar perkataan “antibiotik”, kebiasanya kita akan terus mengaitkannya dengan ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria. Antibiotik telah menyelamatkan jutaan nyawa selama beberapa dekad kerana keupayaannya untuk merawat pelbagai jangkitan bakteria seperti tuberkulosis, pneumonia dan sepsis. Antibiotik telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada bidang perubatan hari ini. Walau bagaimanapun, pernahkah kita terfikir bahawa ubat yang digunakan untuk melawan jangkitan bakteria juga berpotensi mempengaruhi aspek lain kesihatan kita, khususnya keberkesanan rawatan kanser?
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saintis telah mula mengkaji hubungan antara antibiotik dan rawatan kanser. Kajian telah menunjukkan bahawa mikrobiota usus, iaitu komuniti mikroorganisma yang hidup secara semula jadi dalam sistem pencernaan kita, memainkan peranan penting dalam keberkesanan sesetengah rawatan kanser, terutamanya imunoterapi. Walaupun antibiotik digunakan untuk membunuh bakteria berbahaya dalam badan, ianya juga boleh memberikan kesan negatif terhadap bakteria baik dalam sistem pencernaan kita dengan mengganggu keseimbangannya. Ketidakseimbangan ini dikenali sebagai disbiosis, yang boleh menjejaskan fungsi sistem imun badan dan mengubah tindak balas badan terhadap rawatan kanser.
Tidak seperti ubat kemoterapi yang bertindak secara langsung untuk membunuh sel kanser, rawatan imunoterapi berfungsi dengan mengaktifkan sistem imun supaya ianya dapat mengenal pasti dan menyerang sel kanser dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, tidak semua pesakit kanser bertindak balas dengan baik terhadap imunoterapi. Oleh itu, para saintis mula mengkaji sama ada perubahan dalam populasi mikrobiota usus boleh menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi tindak balas rawatan. Memandangkan antibiotik boleh mengganggu keseimbangan mikrobiota usus dengan mengurangkan bakteria baik, ianya boleh melemahkan tindak balas imun dan berpotensi mengurangkan keberkesanan imunoterapi.
Idea ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh saintis di Imperial College London, yang memeriksa hampir 200 pesakit kanser yang menerima perencat titik kawalan imun, iaitu sejenis rawatan imunoterapi. Para saintis mendapati bahawa pesakit yang menerima antibiotik spektrum luas, iaitu antibiotik yang mampu membunuh pelbagai jenis bakteria, beberapa hari sebelum memulakan imunoterapi mengalami tindak balas rawatan yang kurang memuaskan. Hal ini disokong oleh imbasan CT yang menunjukkan bahawa tumor mereka membesar dengan lebih cepat berbanding pesakit yang tidak menerima antibiotik sebelum memulakan imunoterapi. Mereka mencadangkan bahawa penggunaan antibiotik boleh mengurangkan populasi mikrobiota usus yang bermanfaat. Ini berpotensi melemahkan tindak balas imun yang penting untuk imunoterapi berfungsi dengan berkesan.
Dalam kajian tersebut, keputusan yang diperoleh adalah konsisten tanpa mengira jenis antibiotik yang diambil atau jenis kanser yang dihidapi oleh pesakit. Dalam kalangan pesakit kanser paru-paru yang lebih cenderung mengalami jangkitan pada dada, tempoh kelangsungan hidup median bagi mereka yang menerima antibiotik sebelum memulakan imunoterapi hanyalah 2.5 bulan, berbanding 26 bulan bagi pesakit yang tidak menerima antibiotik. Dapatan ini turut disokong oleh kajian-kajian lain yang mengkaji peranan mikrobiota usus dalam rawatan kanser. Dua kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science pada tahun 2017 melaporkan bahawa pesakit kanser yang mempunyai jenis mikrobiota usus tertentu menunjukkan tindak balas yang lebih baik terhadap imunoterapi anti-PD1. Para saintis mencadangkan bahawa mikrobiota usus tertentu boleh meningkatkan tindak balas sistem imun terhadap tumor, sekali gus menunjukkan kepentingan mengekalkan mikrobiota usus yang sihat dan pelbagai bagi menyokong keberkesanan rawatan kanser.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa antibiotik masih merupakan ubat yang diperlukan dan mampu menyelamatkan nyawa apabila diperlukan. Pesakit kanser lebih mudah terdedah kepada jangkitan bakteria kerana kedua-dua penyakit kanser itu sendiri dan rawatannya boleh melemahkan sistem imun. Dalam keadaan sedemikian, antibiotik mungkin diperlukan untuk merawat jangkitan bakteria dan melindungi pesakit daripada komplikasi yang berpotensi menjadi serius. Oleh itu, keputusan untuk menggunakan antibiotik hendaklah sentiasa dibuat berdasarkan keperluan perubatan dan atas nasihat serta pemantauan badan kesihatan profesional.
Kesimpulannya, dapatan kajian-kajian ini tidak bermaksud bahawa penggunaan antibiotik perlu dielakkan semasa rawatan kanser. Sebaliknya, kajian-kajian ini menekankan kepentingan memahami bagaimana ubat-ubatan dan sistem biologi saling berinteraksi dalam tubuh manusia. Kajian mengenai mikrobiota usus dalam kalangan pesakit kanser telah mengubah fokus penyelidikan kanser. Selain menumpukan perhatian kepada sel kanser itu sendiri, para saintis kini menyedari bahawa kejayaan sesuatu rawatan kanser juga bergantung pada keadaan persekitaran dalaman tubuh pesakit. Seiring dengan perkembangan penyelidikan dalam bidang ini, pemahaman yang lebih mendalam tentang hubungan antara antibiotik, mikrobiota usus dan sistem imun secara tidak langsung dapat membantu para saintis menghasilkan rawatan kanser yang lebih berkesan dan individualistik pada masa hadapan.
Rujukan:
Routy, B. et al. (2017). Gut microbiome influences efficacy of PD-1–based immunotherapy against epithelial tumors. Science, 359(6371), pp.91–97. https://doi.org/10.1126/science.aan3706.

Tarikh Input: 08/07/2026 | Kemaskini: 29/08/2026 | azah

Pengarah
Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia,
Emel Perkhidmatan makmal: ibs_services@upm.edu.my