Majlis Meraikan Graduan Institut Biosains 2023 | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » Majlis Meraikan Graduan Institut Biosains 2023

Majlis Meraikan Graduan Institut Biosains 2023

24 November 2023 - Institut Biosains (IBS) telah menganjurkan Majlis Meraikan Graduan IBS bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-47 yang akan berlangsung pada 25-30 November 2023. Program tahunan ini diadakan bagi meraikan bakal graduan dan keluarga di IBS di samping mengeratkan hubungan silaturrahim yang sedia terjalin. Majlis ini juga menjadi platform bagi mengiktiraf graduan yang cemerlang, dan memberi peluang kepada graduan berkongsi kejayaan bersama-sama keluarga, penyelia dan rakan-rakan. Ianya menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk lebih gigih dan bersemangat dalam mengejar kecemerlangan akademik sepanjang tempoh pengajian. 

Pada tahun ini, seramai 12 orang graduan akan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan 9 orang graduan akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains. Cenderamata dan sijil disampaikan kepada graduan IBS yang menghadiri majlis tersebut oleh Profesor Dr. Daud Ahmad Israf Ali, Pengarah IBS.  

Bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar IBS dalam akademik, Hadiah Tesis Master Terbaik BIO-Angle VACS dianugerahkan kepada Muhammad Aiman Haiqal Ismail, pelajar program Master (Farmakologi dan Toksikologi) di bawah penyeliaan Profesor Dr. Muhammad Nazrul Hakim Abdullah. Hadiah ini ditaja oleh Syarikat BIO-Angle VACS Sdn Bhd yang mengiktiraf pencapaian terbaik dalam pelbagai kriteria termasuk keputusan viva, penerbitan, tempoh bergraduat dan CGPA yang terkumpul. 

Manakala bagi Hadiah Tesis PhD Terbaik AquaGrow International dianugerahkan kepada Ferdous Umme Tamanna, pelajar program PhD (Bioteknologi Perubatan) dan di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Zetty Norhana Balia Yusof. Hadiah ini ditaja oleh Syarikat AquaGrow International Sdn Bhd yang mengiktiraf kecemerlangan dalam keputusan viva, penerbitan, tempoh bergraduat dan CGPA yang terkumpul. 

Tahniah diucapkan kepada semua graduan dan penyelia IBS atas pencapaian yang cemerlang. Ucapan terima kasih khas kepada penaja Syarikat AquaGrow International Sdn Bhd dan Syarikat BIO-Angle VACS Sdn Bhd yang menaja hadiah IBS selama 5 tahun, serta Jawatankuasa Majlis Meraikan Graduan Institut Biosains 2023. 

 

Tarikh Input: 30/11/2023 | Kemaskini: 30/11/2023 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045
03 - 9769 2101
SXEdOAP~