IBS Menang Tempat Ketiga Dalam Pertandingan Taman Bekas | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » IBS Menang Tempat Ketiga dalam Pertandingan Taman Bekas

IBS Menang Tempat Ketiga dalam Pertandingan Taman Bekas

31 Oktober 2023 - Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Pertandingan Taman Bekas sempena Karnival Komuniti Sedekad UCTC, sambutan 10 tahun UCTC UPM (2013 - 2023). Sebanyak 9 Pusat Tanggungjawab telah menyertai pertandingan yang telah diadakan selama 2 hari ini.  

Pasukan ‘A Planters’, dari Unit Biodiversiti, Institut Biosains (IBS) yang diketuai oleh Puan Julia Abdul Aziz telah mendapat tempat ke-3. Pasukan ini diwakili Puan Noor Hazwani Abdul Rahim, Encik Muhammad Amri Putra Shafhee dan Encik Mohd Safawi Mohd Jari telah mempamerkan inovasi taman bekas menggunakan polisterin/styrofoam sebagai bekas tanaman. Pendekatan kreatif ini bertujuan mengatasi isu pencemaran di IBS. Selari dengan konsep Taman Bekas, pasukan ‘A Planters’ mengetengahkan 3 kategori tumbuhan iaitu tumbuhan pokok kultur tisu (halia bara, ubi jaga dan kacip fatimah), pokok herba dapur (pegaga, sireh, pandan dan kunyit) dan pokok hiasan (lidah mertua, pokok sireh gading, begonia dan juga anthurium). 

Media penanaman termasuk kompos serai wangi yang dihasilkan daripada sisa ketika penyulingan minyak pati. Kompos ini bukan saja meningkatkan kesuburan tanah tetapi juga sebagai sungkupan bagi mengekalkan kelembapan tanah dan mengatasi masalah serangga. Hasil ujian makmal mengesahkan kehadiran geraniol, citronellal dan citronellol dalam minyak serai wangi yang bertindak sebagai penghalau serangga semulajadi.

Inovasi seperti pengairan titisan menggunakan botol air mineral berlubang dan kompos sisa dapur mempamerkan lagi amalan mampan. Air yang perlahan-lahan dibebaskan daripada botol mineral meminimumkan keperluan untuk penyiraman yang kerap, manakala kompos basah daripada sisa bahan dapur (seperti kerak nasi, kulit buah, bawang, sisa sayur dan sisa ikan atau ayam) boleh digunakan sebagai baja semulajadi. Inisiatif ini menunjukkan komitmen pasukan ‘A Planters’ untuk menanam tumbuhan hijau yang sihat dan selamat untuk dimakan tanpa kebergantungan kepada baja kimia.

Tarikh Input: 29/12/2023 | Kemaskini: 29/12/2023 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045
03 - 9769 2101
WXEdOA2~