Kelapa Makin Kurang, Adakah Masyarakat Kita Mampu Hidup Tanpa Kelapa? | INSTITUTE OF BIOSCIENCE
» NEWS » Kelapa makin kurang, adakah masyarakat kita mampu hidup tanpa kelapa?

Kelapa makin kurang, adakah masyarakat kita mampu hidup tanpa kelapa?

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Kelapa adalah komoditi yang terkenal disebabkan permintaannya bagi kegunaan segar dalam industri pemprosesan makanan yang meningkat menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport kelapa dari negara jiran seperti Indonesia serta Filipina.

Ini kerana rakyat Malaysia seawal pagi menikmati nasi lemak, tengah hari masak lemak cili api menggunakan santan sehingga ke malam dihidangkan dengan kuih koci (inti kelapa), serawa, bubur kacang durian, kuih tradisional begitu juga makanan pada waktu malam.

Belum lagi pada hari raya kegunaan kelapa sehingga permintaan kelapa tua untuk dibuat santan pada hari raya Aidilfitri kali ini bukan sahaja meningkat dan bekalannya tidak mencukupi sehingga perlu di import 34% menurut Jabatan Statistik Malaysia DOSM (2020).

Namun begitu, terdapat pelbagai cabaran dihadapi industri kelapa pada masa kini yang menyumbang kepada pengurangan hasil antaranya produktiviti rendah dan pengurangan keluasan bertanam. Sedangkan jumlah keluasan bertanam kelapa bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah 55,664 ha dengan jumlah pengeluaran sebanyak 452,102 metrik tan pada tahun 2020 (Jabatan Pertanian, 2020).

Kadar tahap SSL (Self Sufficient Level) semasa kelapa di Malaysia adalah 66.6%. Bagi meningkatkan SSL daripada 66.6% kepada 80% menjelang tahun 2040, agensi pertanian perlu melihat polisi guna tanah penanaman bagi menambah kawasan bertanam kelapa, kata Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian, Dr. Khairil Mahmud.

Dr. Khairil Mahmud, Fakulti Pertanian UPM

“Ini bagi memelihara kawasan guna tanah dari sebarang penukaran kepada status aktiviti pembangunan dan aktiviti pertanian lain. Selain itu penggunaan varieti kelapa yang berkualiti dan berhasil tinggi seperti Matag akan dapat meningkatkan pengeluaran kelapa di samping memberi keuntungan kepada pengusaha tambah beliau lagi.

“Isu-isu seperti penukaran status tanah penanaman kelapa kepada aktiviti lain seperti penanaman kelapa sawit dan juga ancaman pembangunan telah menyebabkan berlakunya penurunan keluasan bertanam kelapa di negara kita.

“Dianggarkan terdapat penurunan keluasan bertanam kelapa sebanyak 22% dari 71,856 ha (2013) kepada 55,664 ha (2020) (Sumber Jabatan Pertanian 2020). Sekiranya penurunan ini berterusan, ianya akan menjejaskan bekalan kelapa di negara kita sekali gus menambah kebergantungan kepada kelapa import,” katanya.

Beliau berkata, insentif dan sokongan daripada pelbagai pihak adalah perlu bagi menggalakkan pembangunan industri kelapa. Ini termasuklah program secara berstruktur, galakan kepada penglibatan agropreneur muda  di samping penggunaan teknologi dan juga bekalan benih varieti kelapa berkualiti dan berhasil tinggi bagi menjamin peningkatan pengeluaran kelapa negara.

“Penghasilan benih kelapa yang tulen dan berkualiti seperti Matag perlulah dipertingkatkan. Agensi penyelidikan seperti MARDI, UPM dan DOA perlu lah memainkan peranan dalam menjalankan penyelidikan dalam penghasilan varieti yang berkualiti. Benih kelapa Matag perlu dikawal kerana benihnya belum mencukupi di pasaran sedangkan ianya berkualiti.

“Kelapa Matag misalnya merupakan salah satu varieti kelapa yang berkuali dan berhasil tinggi. Kelapa Matag adalah kacukan Malayan Red Dwarf dan Tananam dilihat cepat membesar dalam tempoh dua tahun boleh mengeluarkan buah dan pokoknya tidak tinggi. Sebatang pokok Kelapa Matag menghasilkan 60 biji buah dan isinya banyak.

“Agensi seperti Jabatan Pertanian perlulah memastikan bekalan benih seperti kelapa Matag adalah tulen dan berkualiti serta mencukupi. Ketulenan benih kelapa penting bagi memastikan kelapa yang ditanam berkualiti dan berproduktiviti tinggi,” katanya.

Pihak UPM melalui Jabatan Sains Tanaman kini sedang menjalankan kajian mengenai kelapa Matag.

Pokok kelapa mempunyai banyak fungsi yang perlu kita hargai. Tinggi menjulang pokok kelapa, Buahnya lebat manis airnya, Kelapa terbukti banyak fungsinya, menjadi budaya masakan kita.

Date of Input: 09/08/2022 | Updated: 09/08/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

INSTITUTE OF BIOSCIENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045
03 - 9769 2101
SXETRA6~