85 Orang Sukarelawan Kolej Mohamad Rashid (KMR) Menyemai Bakti Di Taman Konservatori, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » 85 orang Sukarelawan Kolej Mohamad Rashid (KMR) menyemai bakti di Taman Konservatori, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia

85 orang Sukarelawan Kolej Mohamad Rashid (KMR) menyemai bakti di Taman Konservatori, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia

SERDANG 22 Disember 2018- Seramai 85 orang sukarelawan terdiri daripada pelajar Asasi Pertanian Kolej Mohamad Rashid (KMR) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyemai bakti melakukan kerja-kerja sukarelawan membersih dan menyelenggara Taman Konservatori UPM yang diadakan di sini pada hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran Pihak Pengurusan Kolej Mohamad Rashid bersama Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Mohamad Rashid telah menjadikan Taman Konservatori UPM sebagai salah satu lokasi selain Hutan Ayer Hitam Puchong atau dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC) bagi melakukan kerja kebajikan dalam usaha melahirkan sifat kesukarelawan serta meningkatkan kebolehan interaksi diantara satu sama lain dan alam sekitar. Justeru itu, bagi tujuan mencapai matlamat program terdapat beberapa inisiatif yang telah dilakukan oleh para pelajar di dalam aktiviti kesukarelawan ini. Antaranya adalah aktiviti merumpai, membaja, menggembur serta menambak tanah, menyelenggara nurseri dan mengumpulkan daun-daun kering untuk dijadikan baja kompos.

Program yang disempurnakan oleh Pengetua Kolej Mohamad Rashid, Dr. Khairulmazmi Bin Ahmad dan juga Pengarah Institut Biosains, Professor Dr. Abdul Rahman bin Omar merupakan salah satu usaha membantu dalam gerak kerja pembangunan semula Taman Konservatori yang kini giat dijayakan oleh Taman Pertanian Universiti (TPU) dan Unit Biodiversiti. Malahan sumbangan tenaga melalui aktiviti kesukarelawan pelajar tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mempercepatkan beberapa kerja yang memerlukan sumbangan tenaga kerja yang ramai. Sementara itu, menurut Penyelaras Unit Biodiversiti, program ini merupakan satu projek kesukarelawan menjadikan ia ‘taman angkat’ pelajar  dan aktiviti yang dilakukan ini dapat memupuk serta menyemai rasa cinta terhadap kepelbagaian sumber biodiversiti yang terdapat di Taman Konservatori serta membantu pelajar mengenali tumbuhan ubatan ini dengan lebih dekat.

Tambahan lagi, aktiviti kesukarelawan ini dapat disifatkan sebagai merancakkan lagi inisiatif kelestarian hijau kampus Universiti Putra Malaysia dan seterusnya dapat memperkenalkan Taman Konservatori UPM sebagai taman yang menghimpunkan koleksi hampir 500 tumbuhan pelbagai speasis termasuklah tumbuhan ubatan. Terdiri daripada 11 zon dan lengkap dengan unit nurseri atau semaian, ianya sesuai dikunjungi pelawat yang ingin mendapatkan tumbuhan untuk tujuan penyelidikan dan info berkaitan kegunaan herba dalam perubatan tradisional.

 

Secara keseluruhannya, dengan adanya aktiviti kesukarelawan ini, diharapkan dapat memberi peluang kepada pelajar universiti menggilap bakat kepimpinan serta mencintai dan menghargai alam sekitar agar sumber biodiversiti tersebut terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Tarikh Input: 11/01/2019 | Kemaskini: 11/01/2019 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045/ 2109
03 - 8947 2101
B1566497986