Tin Tanaman Industri Masa Hadapan | INSTITUT BIOSAINS
» ARTIKEL » Tin Tanaman Industri Masa Hadapan

Tin Tanaman Industri Masa Hadapan

Ficus carica Linn. tergolong di dalam keluarga Moraceae di mana ia juga dikenali sebagai fig atau pokok tin di Malaysia. Pokok ini merupakan salah satu tumbuhan buah-buahan  yang tertua di dunia. Ia berasal dari kawasan luar bandar rantau Asia Barat dan Mediterranean. Ia juga tumbuh di kebanyakan hutan tropika dan subtropika. Pokok tin juga adalah sejenis tumbuhan renek, berkayu dan boleh membesar sehingga ketinggian antara 10 - 11 kaki.

Semua bahagian pokok tin mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Secara tradisional, akar pokok tin boleh digunakan untuk merawat leukoderma dan masalah kecacingan. Buah tin pula digunakan sebagai antipiretik, julap dan agen afrodisia. Getah tin pula digunakan untuk merawat jangkitan kulit dan dilaporkan mempunyai aktiviti hipoglisemia, anti-keradangan, antioksida, antiviral, antimikrob dan anti-kecacingan.

Buah tin boleh dimakan segar dan mempunyai pelbagai warna seperti kuning-hijau, kuning, hijau, merah-ungu dan ungu-gelap. Ia diperkaya dengan nilai pemakanan seperti vitamin, unsur mineral, air, lemak, kalsium, serat dan alkali yang tinggi.

Secara konvensional, pokok tin ditanam dengan menggunakan kaedah keratan batang yang matang atau cantuman.

Walaubagaimanapun, masalah utama yang dihadapi oleh pihak industri adalah kesukaran untuk menghasilkan anak benih pokok tin yang berkualiti tinggi dan berskala besar dalam menampung permintaan pasaran tempatan. Selain itu, penggunaan baja yang sesuai bagi menggalakkan tumbesaran tanaman tin ini juga perlu diberi perhatian.

Melalui perolehan Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu skim geran Public-Private Research Network (PPRN), penyelidik telah berjaya menghasilkan anak benih pokok tin yang berkualiti dan berskala besar secara kultur tisu, inovasi baja dan produk ‘biogreen’ untuk mengawal serangga perosak. 

Unit Biodiversiti
Institut Biosains

 

Tarikh Input: 13/09/2017 | Kemaskini: 18/09/2017 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045/ 2109
03 - 8947 2101
B1566499095