Peningkatan Hasil Dan Pembangunan Sistem Tanaman Pisang Melalui Penyelidikan Putra Paradize | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » Peningkatan hasil dan pembangunan sistem tanaman pisang melalui penyelidikan Putra Paradize

Peningkatan hasil dan pembangunan sistem tanaman pisang melalui penyelidikan Putra Paradize

SERDANG – Tanaman buah-buahan tropika seperti pisang (Musa paradisiaca) kultivar cavendish dan nanas (Ananas cosmosus) kultivar MD2 atau dikenali juga sebagai 'Golden pineapple’ mempunyai nilai komersial di pasaran antarabangsa dan tempatan sebagai buah-buahan segar dan produk yang boleh dikomersilkan. Walaubagaimanapun, di Malaysia tanaman ini masih kurang dihasilkan kerana memerlukan penjagaan yang rapi dan tidak tahan kepada serangan penyakit seperti sigatoka, panama dan moko yang disebabkan oleh bakteria dan kulat. 

Projek penyelidikan "Putra Paradize" adalah merupakan projek jaringan kerjasama penyelidikan kultur tisu dan pembangunan sistem tanaman yang mampu meningkatkan hasil tanaman buah-buahan tropika seperti pisang dan nanas. 

Projek ini adalah merupakan jaringan kerjasama penyelidikan yang dijalankan antara UPM dan Agrofresh International Sdn. Bhd. 

Projek ini tertumpu kepada 3 bidang utama iaitu:

  1. Menanggani masalah penyakit tanaman (pisang, nanas dan tanaman yang terlibat) secara Amalan Pertanian Baik untuk meningkatkan kualiti produk, produktiviti dan kuantiti hasil tanaman. 
  2. Membangunkan sistem tanaman yang mesra alam, memaksimakan kitar semula dan meminimakan sisa lebihan yang berkonsepkan sisa sifar. 
  3. Pematuhan dan pensijilan halal yang boleh dijadikan garis panduan untuk pasaran di seluruh dunia. 

Projek ini diketuai oleh oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila dan Prof. Dr. Abdul Rahman Omar, Pengarah IBS sebagai Penyelaras projek. Bagi menyokong misi UPM dan memperkasakan industri pertanian, kajian penyelidikan ini turut melibatkan kerjasama dari Fakulti dan Institut yang berasaskan teknologi pertanian dan agribio yang terdiri daripada Fakulti Pertanian (FP), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Fakulti Perhutanan (FP), Institut Biosains (IBS) dan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH). 

Bagi merealisasikan hubungan kerjasama ini, satu perjanjian telah dimetrai iaitu perjanjian penyelidikan (MoA) yang ditandatangani pada 29 Mei 2015 untuk tempoh lima (5) tahun. 

Hasil penyelidikan yang pertama membuktikan penghasilan berat buah pisang Cavendish mampu mencecah antara 28 hingga 34 kilo dan menghasilkan antara 8 hingga 9 sisir buah. 

Kawasan penyelidikan ini juga akan dijadikan sebagai contoh model penyelidikan yang berasaskan enam bidang keutamaan pertanian iaitu persekitaran terkawal, pertanian persis, kawalan secara biologi, teknologi pembajaan, bank agrobiogen dan pengeluaran akuakultur kepada pelawat komuniti dan antarabangsa.

 

Ditulis oleh,

Julia Abdul Aziz

 

 

Tarikh Input: 30/08/2017 | Kemaskini: 10/02/2021 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045
03 - 9769 2101
SXEZPAk~