INTERNATIONAL CONFERENCE ON ADVANCES IN FISH HEALTH (ICFISH 2017) | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » INTERNATIONAL CONFERENCE ON ADVANCES IN FISH HEALTH (ICFISH 2017)

INTERNATIONAL CONFERENCE ON ADVANCES IN FISH HEALTH (ICFISH 2017)

Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Persatuan Perikanan Asia (AFS) dan Persatuan Perikanan Malaysia (MFS) telah menganjurkan “International Conference on Advances in Fish Health” (ICFISH 2017) pada 4 – 6 April 2017, bertempat di Auditorium TNCPI, UPM.

Persidangan ini adalah sebahagian daripada program HICoE (Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi), berkaitan vaksin haiwan dan terapeutik. Secara umum, ICFISH 2017 menyediakan satu platform untuk komuniti saintifik bekerjasama dengan pemegang taruh lain bagi membincangkan cabaran dan kemajuan yang diperlukan dalam mengawal penyakit dan pengurusan kesihatan haiwan akuatik, untuk memenuhi permintaan tinggi ikan serta produk berasaskan ikan sebagai sumber makanan di masa hadapan.

Empat objektif utama telah dirangka bagi persidangan ini. Pertama, berkongsi perkembangan terkini tentang kemunculan penyakit ikan yang mengancam industri akuakultur. Kedua, mempromosi kemajuan teknologi dalam pendekatan diagnostik dan biomarker bagi mengenalpasti penyakit ikan. Ketiga, memberikan maklumat terkini berkenaan penggunaan vaksin, perkembangan baharu dalam probiotik, terapeutik, dan strategi immunoprofilaktik lain yang boleh diaplikasi dalam sektor akuakultur. Keempat, memahami amalan baik pengurusan penyakit ikan dalam sistem akuakultur yang mampan.

Kesemua objektif ini berjaya dicapai menerusi kupasan lima topik utama yang telah diketengahkan dalam ICFISH 2017. Ini termasuk epidemiologi penyakit ikan, diagnostik dan biomarker dalam mengenalpasti penyakit ikan, teknologi vaksin dan immunologi, probiotik dan teraputik, serta pengurusan penyakit ikan secara praktikal dalam sistem akuakultur. 

Persidangan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Nik Ali bin Mat Yunus, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi. Seramai 83 orang peserta telah hadir dan sebanyak 56 kertas kerja, yang terdiri daripada 37 kertas kerja lisan serta 19 poster telah dibentangkan oleh pakar-pakar dan pemegang taruh dalam bidang akuakultur.

Ucap utama telah disampaikan oleh Dr. Melba Reantaso, pakar akuakultur dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), PBB, berkenaan “Transboundary Aquatic Animal Diseases (TAADs) and their Potential to Destroy National Aquaculture Development”. Manakala, Prof. Dr. Alexandra Adams dari University of Stirling, Scotland, UK telah membentangkan satu lagi ucap utama bertajuk “Fish Vaccine Development and Optimisation of Administration Strategies” pada hari kedua persidangan ICFISH 2017.

Tarikh Input: 27/04/2017 | Kemaskini: 27/04/2017 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045
03 - 9769 2101
SXEXQAr~